Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan Festival Seni Hidup (LACF) yang diadakan pada 29 hingga 31 Oktober depan.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop berkata, program tersebut menghimpunkan kesenian yang antaranya telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan serta sebagai platform yang mengetengahkan warisan negara yang hampir pupus dan seterusnya menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan.

“Sebagai sebuah jabatan yang bertanggung jawab dalam memantapkan usaha memelihara, mengekal, mengembang dan menyemarakkan seni budaya dan warisan negara, JKKN turut melaksanakan pencungkilan bakat sempena LACF 2021. Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Pertandingan Nyanyian Lagu-lagu P. Ramlee, Cabaran Joget dan Pertandingan Busana Tradisional Malaysia.

“Penyertaan dibuka mulai 20 Ogos hingga 20 September depan, manakala pertandingan akhir akan diadakan pada 29 hingga 31 Oktober. Untuk rekod, sebanyak 149 lagu-lagu nyanyian dan gubahan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee telah diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2018. Manakala Joget Melayu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2007. Hadiah wang tunai berjumlah RM23,000 bakal menjadi milik pemenang,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Mesran, berbeza dengan penganjuran LACF pada tahun 2018 dan 2019, program pencungkilan bakat itu merupakan julung kali diadakan bagi sesi 2021. Orang ramai juga berpeluang mengundi peserta kegemaran mereka bagi memenangi kategori peserta paling popular menerusi Facebook Rasmi LACF bermula 25 September hingga 20 Oktober depan.

“Selain pencungkilan bakat, orang ramai juga berpeluang menyaksikan persembahan dan dokumentari Warisan Tidak Ketara daripada Malaysia, Lao PDR, Turki, Indonesia, Cambodia, Korea Selatan, China, Sri Lanka, Filipina, Kanada, Australia, Viet Nam dan Thailand menerusi www.cloudtheatre.com dan Facebook JKKN TV, serta berpeluang mengikuti bengkel seni lipatan kertas, galeri maya, webinar dan sebagainya lagi.

“Diharap dengan beberapa program pencungkilan bakat ini dapat menyemarakkan lagi seni budaya di Malaysia di samping menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan seni budaya dan warisan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk pencungkilan bakat, muat naik video anda ke Google Drive atau wetransfer dan sertakan pautan di Borang Penyertaan. Sila Imbas QR code dalam poster atau layari laman sesawang JKKN di http://www.jkkn.gov.my/ms untuk muat turun borang dan syarat penyertaan.

 

https://www.utusan.com.my/gaya/2021/08/lacf-2021-pamer-keunikan-budaya-seni-negara/